Wednesday, February 3, 2016

Dragonfly : Telefon, Tablet Dan Komputer Riba Dalam Satu

Peranti hibrid Android bukanlah perkara baru dah sudahpun ada di pasaran. Asus Padfone ialah peranti hibrid yang paling terkenal kerana ianya sebuah telefon pintar yang mampu berubah menjadi sebuah tablet dengan menggunakan dok khas. Secara ikhlas setakat ini kami tidak pernah lagi melihat sesiapapun menggunakan Padfone di tempat awam. Idea peranti hibrid ini juga nampaknya tidak mendapat sambutan dari pengeluar peranti besar seperti Apple dan Samsung. Jadi bolehlah dirumuskan pasaran peranti hibrid 2 dalam 1 tidak besar dan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Ini mungkin kerana phablet dan tablet mini sudah cukup untuk memenuhi kehendak pasaran. Tetapi ini tidak menghalang IdealFuture, sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat untuk menghasilkan Dragonfly. Ianya menurut mereka ialah sebuah peranti 3 dalam 1 yang menggabungkan sebuah phablet, tablet dan komputer riba. Komponen utama Dragonfly ialah dua phablet 7″ yang diberi nama Slingshot. Setiap satunya boleh berfungsi dengan sendiri apabila diperlukan. Tetapi apabila digabungkan dengan dok papan kekunci, Slingshot berubah menjadi paparan skrin berkembar untuk sebuah komputer riba. Papan kekunci merangkap dok ini juga boleh dilipat kepada mod tablet. Pihak IdealFuture menjanjikan Dragonfly bukan sahaja dapat menjalankan sistem operasi Android malah boleh menjalankan sistem operasi Windows. Sistem operasi juga boleh ditukarkan mengikut kehendak pengguna dengan hanya dengan menekan sebuah butang. Setiap Slingshot akan mempunyai skrin QHD dan RAM sebesar 4 Gigabyte. Muatan dalaman gabungan Dragonfly ialah 256 Gigabyte. Dragonfly ialah sebuah idea inovatif yang pada pandangan kami adalah terlalu menakjubkan untuk menjadi realiti. Kita sudahpun melihat idea peranti skrin berkembar boleh lipat pada Kyocera Echo. Yang dijanjikan menggunung tetapi yang diterima hanyalah sarang anai-anai. Dragonfly dijual pada harga $599  dan dijangka akan memasuki pasaran tahun hadapan.

No comments: