Wednesday, February 3, 2016

Gigabyte GeForce GTX 980 WaterForce Tri-SLI Dengan Sistem Penyejukan Air

Untuk menjadi bangsa terpilih PC anda memerlukan tiga perkara. Pertama sekali ialah akaun bank yang sihat, kesabaran untuk memasang komponen komputer dan kegilaan dalam memilih komponen apa yang ingin dibeli. Hari ini Gigabyte memperlihatkan sebuah kad grafik yang sekiranya anda memilikinya akan secara automatik membuatkan anda mempunyai kasta tertinggi di kalangan pengguna PC. Gigabyte GeForce GTX 980 WaterForce Tri-SLI ialah gabungan tiga kad grafik terbaik di pasaran dengan sistem penyejukan airnya sendiri. Setiap kad Geforce GTX980 mempunyai pemproses 1228 MHz dengan RAM GDDR5 sebesar 4 Gigabyte. Sistem penyejukan air ini bukan sahaja menyejukkan pemproses kad grafik malahan turut menyejukkan modul RAM bagi memastikan keseluruhan kad disejukkan pada kadar optimum. Setiap kad di dalam konfigurasi Tri-SLI ini akan disejukkan oleh sebuah kipas sebesar 120 mm. Menurut Gigabyte dengan menggunakan sistem penyejukan mereka komputer anda akan dapat berfungsi 42.9% lebih sejuk berbanding menggunakan sisytem penyejukan udara konvensional. Tiada maklumat mengenai harga untuk sistem penyejukan ekstrem ini buat masa ini. Ianya hanya akan mula dijual pada penghujung tahun ini. Jadi anda mempunyai masa beberapa bulan untuk mengumpul dana untuk memilikinya.

No comments: