Wednesday, February 3, 2016

Samsung Flow Ingin Membolehkan Pengguna Mengakses Notifikasi Dan Tugasan Pada Pelbagai Peranti

Beberapa perkhidmatan telah sedia menawarkan anda mengikuti notifikasi dan melakukan tugas pada peranti mudah-alih menggunakan peranti lain. Kini, Samsung turut memperlihatkan penawaran mereka tersendiri, dinamakan sebagai Project Flow. Melalui Flow, Samsung ingin membolehkan pengguna mengikuti notifikasi pada pelbagai saiz skrin, disamping membuat tugasan menggunakan satu peranti dan kemudian menyambungnya menggunakan peranti yang lain. Flow ini membawakan beberapa fungsi, dan fungsi untuk mengikuti tugasan pada pelbagai peranti ini dinamakan sebagai Defer. Melalui Defer, sebagai contoh pengguna boleh menonton video pada peranti mudah-alih, dan kemudian menyambungnya pada kaca televisyen. Pengguna juga turut boleh melakukan perkara sama untuk penyuntingan dokumen, dan juga membuat sesuatu tugasan dan menyimpannya untuk diakses pada masa kemudian. Disamping itu, Flow turut membolehkan anda mengikuti notifikasi seperti panggilan telefon, mesej, keadaan peranti, dan juga pelbagai notifikasi lain terus ke komputer atau televisyen anda – selain daripada peranti mudah-alih dan jam tangan pintar. Samsung baru sahaja mengumumkan dan berkongsi maklumat mengenai Project Flow ini bersama-sama para pembangun, dan mungkin kita akan dapat melihat ia dilancarkan untuk pengguna umum dalam beberapa bulan lagi.

No comments: