Monday, July 21, 2014

Mengesan Masalah Mata Mengunakan Telefon Pintar

Masalah mata seperti katarak mudah dikesan di negara moden dan membangun kerana pesakit boleh ke klinik untuk melakukan pengesanan awal. Masalah katarak ini boleh menyebabkan pesakitnya buta kerana cahaya terhalang dari memasuki mata. Masalah mengesan masalah mata ini biasanya memerlukan alat khas dan mahal serta memerlukan doktor ke kawasan pedalaman untuk melakukan diagnosis. Portable Eye Examination Kit (PEEK) ialah kit khas yang dicipta bagi mengesan masalah mata sebelum mencapai tahap kronik. Terdiri daripada lensa khas yang disambungkan kepada kamera utama telefon pintar dan aplikasi yang boleh melakukan pengesanan tahap kesihatan mata. Dari data yang diambil, doktor boleh melakukan diagnosis dari jauh. Mereka juga boleh memuat-turun data yang diambil untuk melihat pesakit manakah yang paling memerlukan bantuan mereka. Setiap gambar mata yang diambil mempunyai lokasi GPS tersendiri dan ini akan memudahkan lagi doktor untuk mengesan lokasi pesakit. Dianggarkan 285 juta penduduk dunia mengalami masalah penglihatan. Sebanyak 39 juta dari jumlah ini mengalami masalah buta. Paling menyedihkan dalam 80% kes pesakit buta, penglihatan mereka boleh diselamatkan sekiranya dikesan dengan lebih awal. Jika dahulu peranti pintar menggantikan kamera, mesin fax, perakam video dan PDA, kini peranti pintar boleh juga menggantikan alat menguji mata yang anda biasa lihat di kedai cermin mata.

No comments: