Monday, July 21, 2014

Laman Vimeo Dihalang Akses Di Indonesia

Laman video popular Vimeo dihalang aksesnya di Indonesia hujung minggu lalu selepas pihak berkuasa Indonesia menerima aduan dari orang ramai bahawa Vimeo mempunyai kandungan berupa pornografi. Halangan akses ini menimbulkan kemarahan warga Indonesia yang kemudian melepaskan kemarahan mereka melalui laman sosial. Undang-undang anti pornografi di Internet sudah berkuatkuasa di Indonesia sejak 2008. Sebelum ini 119 laman lain sudah dihalang aksesnya atas sebab yang sama. Vimeo menjadi mangsa undang-undang ini kerana terdapat video artistik yang memaparkan wanita tidak berpakaian. Menurut Vimeo mereka membenarkan video sebegini atas dasar seni asalkan ia tidak menunjukkan perlakuan seks secara terang-terangan. Agak aneh juga Vimeo disekat aksesnya sedangkan YouTube tidak. Kami melakukan carian rawak dan kami mendapati adalah lebih mudah menemui video yang boleh dianggap pornografi mengikut interpretasi undang-undang Indonesia di YouTube. Apa yang kami risaukan sekarang akan ada tindakan tergesa-gesa dari pihak Malaysia pula untuk melakukan halangan akses yang serupa.

No comments: