Monday, July 21, 2014

SKMM Mengeluarkan Kompaun Berjumlah RM1.2 Juta

SKMM hari ini mengeluarkan kenyataan, mengatakan mereka telah mengeluarkan sebanyak 28 kompaun berjumlah RM1.2 juta kepada syarikat telekomunikasi tempatan disebabkan oleh masalah panggilan terputus yang dihadapi pengguna. Kompaun ini dikeluarkan berdasarkan kepada ujian EESAT yang dijalankan sekitar Julai hingga September 2013 lepas. Daripada apa yang dikongsikan oleh SKMM, mereka mengenakan tujuh kompaun berasingan sebanyak RM310,000 kepada Celcom, 11 kompaun berjumlah RM480,000 kepada DiGi, 9 kompaun berjumlah RM360,000 kepada Maxis, dan RM50,000 untuk U Mobile. Pihak SKMM turut berkongsi mengatakan kadar laporan mengenai panggilan terputus telah berkurangan pada suku pertama 2014 ini berbanding suku ketiga 2013 yang lepas. Daripada ujian yang dilakukan pihak SKMM, kadar panggilan terputus yang paling tinggi dilihat berlaku di Pendang, Kedah untuk talian Maxis, sementara talian DiGi dilihat mempunyai kadar terputus panggilan tertinggi pada tempat kedua dan ketiga – masing-masing di Laluan Jalan Utama dari Tuaran ke Kudat dan Laluan Jalan Utama dari Membakut ke Keningau.

No comments: