Wednesday, April 16, 2014

Kingston MobileLite Wireless

Secara amnya Kingston MobileLite Wireless merupakan peranti yang mempunyai tiga fungsi utama iaitu membaca memori dari USB dan kad-SD, berkongsi dan menstrimkan fail dari memori tersebut kepada telefon pintar, serta berupaya untuk memberikan caj kuasa tambahan untuk telefon bimbit anda. Turut disertakan bersamanya adalah kabel USB untuk kegunaan pengecasan peranti ini dan penyuai kad-SD ke Micro-SD. Sekiranya anda pemilik telefon pintar yang mempunyai kapasiti storan yang rendah, dengan peranti ini anda hanya perlu memasukkan kad-SD atau pemacu USB kepada slot yang disediakan. Pengguna perlu menghubungkan telefon pintar dengan peranti ini melalui aplikasi Kingston MobileLite Wireless yang tersedia di Apple App Store dan Google Play Store untuk mengakses fail-fail tersebut termasuklah untuk memindahkan data dari telefon pintar kepada pemacu tersebut. Ia juga boleh digunakan untuk penstriman media secara serentak kepada 3 peranti berasingan. Berdasarkan ujian yang dilakukan, penstriman media berdefinisi tinggi tidak menghadapi sebarang masalah namun terdapat sedikit lengah masa dimana video tersebut akan distrimkan kepada peranti tersebut. Berkenaan fail yang distrimkan, ia juga bergantung kepada codec media tersebut dan juga codec yang boleh dimainkan oleh telefon pintar anda kerana melalui percubaan tersebut, sesetengah fail tidak boleh dimainkan. Oleh kerana peranti ini menggunakan sambungan WiFi untuk berhubung, anda perlu menetapkan kata laluan WiFi tersebut melalui aplikasi MobileLite Wireless pada telefon pintar anda. Kapasiti bateri sebesar 1810 mAh mungkin sedikit kecil tetapi mencukupi untuk sekali caj.

No comments: