Tuesday, April 12, 2016

SanDisk Memperkenalkan iXpand Flash Drive Di Malaysia

Bagi pengguna iPhone dan iPad, ketiadaan sokongan mikro-SD sering membuatkan anda menghadapi masalah dengan storan, terutamanya jika menyimpan pelbagai fail media bersaiz besar. Untuk mengatasinya, terdapat beberapa aksesori khusus, dan hari ini SanDisk memperkenalkan aksesori mereka yang dinamakan sebagai iXpand Flash Drive. Pengenalan iXpand Flash Drive di Malaysia juga sekaligus memulakan penawaran peranti berkenaan kepada para pengguna peranti iOS di Malaysia. iXpand Flash Drive ditawarkan dalam variasi storan antara 16GB sehingga 128GB. Untuk menggunakannya, pengguna memerlukan sebuah aplikasi khusus yang digunakan untuk memindahkan serta membaca fail, gambar dan video dari peranti ke iXpand. Pengguna juga turut boleh memainkan video dan muzik terus daripada iXpand tanpa masalah menggunakan aplikasi berkenaan. iXpand Flash Drive hadir dengan sambungan Lightning serta USB 2.0, yang mana boleh digunakan untuk menghubungkan ia kepada iPhone atau iPad serta ke komputer untuk memindahkan dokumen serta fail. Di Malaysia, pengguna boleh mendapatkan iXpand Flash Drive ini di Switch, machines dan juga Mac Studio. Ia dijual pada harga RM289 untuk 16GB, RM379 untuk 32GB, RM549 untuk 64GB dan RM829 untuk 128GB.

No comments: