Thursday, April 14, 2016

Google Memperkenalkan Sistem Operasi Khusus Untuk Peranti Berhubung (IoT) Pada Minggu Hadapan

Pada minggu hadapan, Google menjadualkan acara Google I/O, yang mana bakal menyaksikan pihak Google berkongsi sejumlah perkara baru yang bakal dilancarkan mereka kepada umum sepanjang bulan-bulan akan datang. Selain daripada perkongsian awal berkaitan Android M, Google juga kini dikatakan mungkin memperkenalkan sebuah sistem operasi khusus untuk peranti berhubung. Peranti berhubung (IoT) merupakan salah satu terma yang kini semakin digunakan secara meluas – apatah lagi dengan era internet pada hari ini yang membuatkan pelbagai peranti boleh dikawal menggunakan telefon pintar atau jam tangan pintar pengguna. Ini juga membawa kepada penggunaan masa dan tenaga yang lebih optimum berbanding sebelum ini. Buat masa ini, pihak Xiaomi menyediakan platform tersendiri untuk pembangun yang ingin menghubungkan peranti mereka ke platform Xiaomi, selain Huawei yang telah mengumumkan sistem operasi bersaiz 10KB dinamakan LiteOS khusus untuk perkara ini. Samsung turut tidak ketinggalan dan telah mengumumkan Artik. Google pula kini dikatakan dalam persiapan untuk memperkenalkan sebuah platform atau perisian khusus untuk digunakan oleh peranti berhubung ini. Ia dikatakan direkabentuk untuk peranti dengan RAM serendah 32MB dan menawarkan fungsi asas yang tidak menggunakan tenaga tinggi. Nama akhir platform ini juga dikatakan mungkin dijenamakan dibawah keluarga Android. Google sebelum ini pernah mengumumkan Android @Home, tetapi projek berkenaan seperti senyap sahaja tanpa perkembangan sehingga kini. Pada tahun lepas, Google telah mengumumkan Android Auto, Android TV dan juga Android Wear, dan mungkin pengumuman platform untuk IoT ini akan melengkapkan penawaran Android pada pelbagai jenis peranti sekitar kita.

No comments: