Thursday, April 7, 2016

Bruno : Tong Sampah Pintar Dengan Penyedut Sampah Terbina

Internet of Things (IOT) ialah frasa yang akan anda dengari dengan lebih banyak dalam masa beberapa tahun akan datang. Ianya idea pemintaran kesemua perkakas yang digunakan oleh kita setiap hari. Pemintaran perkakas ini diharap dapat menjadikan hidup kita lebih teratur, pantas dan lestari dengan penggunaan sumber yang lebih optimum. Hari ini mari lihat sebuah lagi projek pemintaran perkakas harian yang diberi nama Bruno. Bruno ialah tong sampah pintar dengan penyedut sampah terbina. Tong sampah ini boleh mengesan tahap sampah di dalamnya setiap masa. Apabila sampah sudah semakin penuh ia akan menghantar mesej kepada peranti pintar anda untuk mengosongkannya? “Kenapa tidak buka sahaja penutup? Perlukah tong sampah pintar untuk beri tahu sudah penuh?” Ini mungkin soalan anda. Sistem pemberitahu tahap sampah di dalam Bruno perlu kerana ia mempunyai penyedut sampah pada bahagian bawah. Apabila menyapu lantai, sampah dari sapuan boleh disedut oleh Bruno terus ke dalam beg sampah. Anda tidak perlu membuka penutup dan paling bagus tidak memerlukan penyodok untuk memasukkan sampah ke dalam Bruno. Bruno turut boleh memberitahu anda apabila plastik sampah anda juga mula berkurangan. Tong sampah bijak ini sedang mengumpul dana dan dijual pada harga $159 sebuah. Harga yang agak tinggi untuk sebuah tong sampah tetapi jika anda tidak mahu sakit badan kerana perlu tunduk menggunakan penyodok ini adalah keperluan yang anda mahukan semalam.

No comments: