Wednesday, March 30, 2016

Hong Leong Hadir Dengan PEx+

Hong Leong Bank mempunyai salah satu platform digital mereka tersendiri dinamakan Hong Leong Connect. Terkini, mereka terus menambah penawaran dibawah platform digital mereka dengan penggunaan fungsi Payment Express atau dikenali sebagai PEx. Payment Express atau PEx sebelum ini memudahkan pengguna menghantar bayaran kepada rakan-rakan atau sesiapa sahaja tanpa perlu menggunakan sebarang nombor akaun bank. Anda akan menghantar wang menggunakan nombor telefon, dan seterusnya penerima boleh mengeluarkan wang melalui ATM Hong Leong Bank dengan mudah. Kini, fungsi Payment Express terus ditambah-baik dengan sokongan untuk membayar pembelian barangan atau produk. Hong Leong menamakan fungsi baru ini sebagai PEx+. Melalui PEx+ ini, pengguna boleh membayar kepada pembelian dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan menggunakan aplikasi Hong Leong Connect yang ditawarkan untuk pelbagai platform utama. Seperti menghantar wang, anda akan diminta masukkan kata laluan terlebih dahulu, seterusnya mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh penjual dan seterusnya mengesahkan pembayaran tersebut. Seperti biasa, penjual turut perlu menggunakan aplikasi daripada Hong Leong Bank khusus untuk mereka dalam proses menjana kod QR dan menerima bayaran. Buat masa ini, penerima bayaran melalui PEx+ ini masih lagi rendah, dan kami melihat ia sebagai lebih relevan dan menarik berbanding beberapa bank yang memasarkan penggunaan peranti untuk swipe kad kredit atau ATM. Apa pun, seperti biasa, angka kedai yang menggunakannya akan mempengaruhi kejayaan platform ini kelak.

No comments: