Tuesday, April 15, 2014

Yahoo! Ingin Menarik Penerbit Video YouTube

Yahoo! telahpun mempunyai perkhidmatan video mereka sendiri dinamakan sebagai Yahoo! Screen. Namun, ia tidak membenarkan pengguna biasa berkongsi video mahupun menerbitkan melaluinya. Kini, ia dilihat mungkin akan berubah dan pihak Yahoo! sedang berbincang dengan beberapa penerbit video di YouTube untuk menggunakan platform Yahoo!. Ini akan memberikan pendapatan tambahan yang lebih tinggi berbanding dengan YouTube, sekaligus menjadi salah satu tarikan kepada penerbit video dan penghasil kandungan beralih kepadanya. Apa pun, berbeza dengan YouTube, platform ini tidak akan dibuka kepada umum, tetapi mereka yang terpilih sahaja boleh menggunakan platform tersebut untuk menerbitkan kandungan. Perkara ini membolehkan pihak Yahoo! menawarkan kandungan yang berkualiti dan eksklusif kepada pengguna mereka. Yahoo! sebelum ini pernah cuba mengambil-alih DailyMotion, tetapi gagal untuk mendapatkannya. Memandangkan video merupakan salah satu bentuk kandungan yang mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini, maka ia tidak mustahil untuk Yahoo! turut memfokuskan kepadanya.

No comments: