Wednesday, August 31, 2011

Beli Telefon bimbit : Set Original, AP atau UW ?

Telefon bimbit baharu yang dibeli disertakan bersama dengan kad waranti. Jaminan waranti biasanya diberi dalam tempoh masa 12 bulan, 18 bulan dan sebagainya tertakluk kepada terma2 dan syarat2 yang telah ditetapkan oleh pengeluar atau penjual. Dalam hal ini, sering kali orang memperkatakan tentang banding beza antara waranti original dan Approved Permit/Product (AP) sesebuah telefon bimbit. Selain itu, ada juga penjual yang menjual telefon bimbit dalam kategori Under Water (UW), yakni telefon bimbit yang dibeli dari luar negara secara dalam talian atau menerusi pihak ketiga.

Artikel kali ini, saya akan mengupas perihal perbezaan antara waranti yang ditawarkan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Kad waranti merupakan jaminan bertulis yang diberikan oleh syarikat kepada pembeli sekiranya berlaku kerosakan atau tidak dapat berfungsi dalam tempoh masa yang tertentu. Apabila telefon bimbit yang dibeli mengalami masalah atau kerosakan, saudara boleh menuntut jaminan waranti sama ada menerusi pengedar berdaftar atau penjual bergantung kepada jenis set yang dibeli. Satu ketika, set original Sony Ericsson K810i penulis pernah mengalami masalah sistem operasi dan kegagalan kayu bedik (joystick) berfungsi dengan baik.

Penulis menuntut jaminan waranti yang disediakan oleh Thorus kerana masih dalam tempoh waranti daripada pengedar berdaftar di Jalan Imbi. Janji telefon bimbit akan diperbaiki dalam tempoh 7 hari ditepati apabila hari ke-4 penulis sudah menerima panggilan untuk menuntut semula telefon tersebut. Berbeza dengan perkhidmatan yang disediakan oleh penjual set AP, Sony Ericsson K750i yang dibeli oleh penulis terpaksa dihantar untuk dibaiki kerana mengalami masalah peralatan tegar (Firmware). Hampir sebulan menunggu barulah penulis dapat menuntut semula telefon bimbit yang diperbaiki.

Harus diingat, jaminan waranti saudara akan menjadi tidak sah dan terbatal serta-merta sekiranya telefon bimbit yang dibeli mengalami kerosakan akibat kecuaian sendiri seperti terjatuh, dibasuh dengan mesin basuh, kegagalan flash modding untuk naik taraf dan lain2 lagi yang seumpama dengannya. Selain itu, jaminan waranti hanya sah dan boleh dituntut di negara sewaktu telefon bimbit dibeli sahaja. Jangan lupa, label Sirim mesti ada pada bahagian tempat letak bateri untuk menjamin keselamatan sewatu digunakan.

Set Original
Set original telefon bimbit dijual oleh pengedar berdaftar seperti Zitron, Avaxx, Thorus, Midlands, T-Choice dan First Mobile Group (FMG). Tuntutan waranti boleh dibuat di mana2 sahaja pengedar di seluruh negara tanpa sebarang masalah. Waranti yang ditawarkan kepada pembeli adalah selama setahun untuk keseluruhan set termasuklah pengecas, bateri dan perkakas bebas tangan (Handfree). Pelekat hologram boleh dilihat pada bateri telefon bimbit dan bahagian tempat letak bateri sebagai tanda bahawa set telefon bimbit tersebut dijamin oleh waranti original, bukan AP atau UW. Contohnya, Thorus Technology untuk model Sony Ericsson dan simbol 9 untuk model Nokia. Harga set original tefon bimbit lebih mahal berbanding set AP dan UW kerana jaminan waranti perlu dibayar bersama sebagai pakej pembelian. Saya menyarankan kepada saudara supaya memilih set original dengan membayar lebih untuk pembelian model telefon bimbit yang mahal2, jenis menggelongsor (Slide) dan boleh dilipat (Clamshell). Hal ini kerana sebarang kerosakan dalam tempoh waranti boleh dituntut dengan senang hati.

Set AP (Approved Permit/Product)
Set ini dijual oleh penjual bebas dan tidak berdaftar. Produk yang dijual merupakan produk yang mendapat kelulusan, diimport dari luar negara dan dijual kepada pengguna. Nama2 syarikat AP seperti Final Choice, CSL, Nefion, Telstra, GTMax dan lain2 lagi menyediakan waranti untuk set AP. Tempoh masa waranti yang diperuntukkan telefon selama setahun manakala aksesori2 yang lain selama sebulan. Harga yang ditawarkan lebih murah berbanding set original. Walau bagaimanapun, set AP kurang dipercayai kerana model telefon bimbit yang dijual tidak original, aksesori tidak mencukupi dan bahagian2 tertentu ditukar ganti yang jenama yang lain seperti bateri. Sebarang kerosakan yang dialami perlu dihantar semula ke kedai yang menjual atau syarikat AP untuk menuntut jaminan waranti. Sekiranya berlaku kerosakan major pada set AP yang dibeli, syarikat AP teraksa menghantar kepada pengedar sah kerana tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Sekiranya telefon bimbit saudara terdapat logo Vodafone atau T-Mobile, ini bermakna telefon saudara berkemungkinan adalah berkunci (Locked) dan tidak dapat digunakan. Hal ini kerana Vodafone dan T-Mobile merupakan operator perkhidmatan di United Kingdom. Begitu juga sekiranya terdapat logo M1, Singtel dan Starhub, ini bermakna telefon tersebut dari Singapura atau Vodafone.

Set Recon/Under Water
Set ini merupakan telefon terpakai yang diperolehi dari luar negara. Bekasnya ditukar (Bukan bekas yang asal) dan berlaku ubahsuai dalaman sebelum dijual sebagai set AP. Dari aspek keselamatan, set ini tidak mendapat akreditasi Sirim dan kebarangkalian meletup sewaktu menggunakannya amat tinggi.

Kenal pasti set original atau AP ?
1. Keluarkan bateri telefon bimbit daripada bekasnya.
2. Perhatikan pelekat hologram kerana t'dapat simbol syarikat yg menyediakan waranti.
3. Tekan *#06# untuk semak 15 digit nombor siri IMEI telefon bimbit.
4. Banding beza antara IMEI di telefon bimbit dengan di kotak pakej.
5. Jika sama, originallah maknanya.
6. Lihat juga perbezaan harga yang ditawarkan
7. Cuba tanya pakej yang ditawarkan bersama set telefon bimbit tersebut kepada jurujual.
8. Membuat anggaran antara harga dan pakej sama ada original, AP atau UW.

Sewaktu membuat semakan syarikat yang menawarkan waranti di Malaysia, penulis berasa agak pelik kerana laman tersebut tidak dikemas kini langsung. Berbeza pula di Amerika, penyedia waranti seperti Verizon, AT&T, T-Mobile, Sprint dan Nextel mempamerkan maklumat terkini di laman sesawang masing2 dan sentiasa dikemas kini. Adakah terdapat cubaan untuk memanipulasikan pengguna tentang hak mereka dalam menuntut waranti ? Suatu persoalan yang memerlukan FOMCA ambil tindakan !

No comments: