Thursday, April 14, 2016

Pesawat AC 130W Akan Menyokong Sistem Membidik Senjata Menggunakan Topi Keledar

Misi Death From Above di dalam COD Modern Warfare ialah antara misi yang paling menarik pernah kami mainkan. Anda mengawal sistem persenjataan sebuah Lockheed AC 130 dan menembak posisi musuh yang cuba menyerang sekutu anda yang cuba melarikan diri. Misi ini mungkin fiksyen tetapi “kereta kebal terbang” AC 130 adalah pesawat sebenar yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat. Versi terkini pesawat ini diberi nama AC 130W Spectre II dengan penambahan beberapa sistem senjata pintar. Kini ia mampu menjatuhkan bom dengan kawalan GPS dan juga peluru berpandu pintar AGM 176 Griffin. Bagi memudahkan proses memusnahkan musuh, sistem bidikan menggunakan topi keledar Joint Helmet Mounted Cueing System (JHMCS) akan digunakan oleh juruterbang pesawat ini. Sistem topi keledar ini pada asalnya direka untuk kegunaan juruterbang pesawat pejuang. Penggunaannya di dalam AC 130W diharap dapat memudahkan anak kapal mencari musuh dan memusnahkan mereka dengan secepat mungkin. Dengan JHMCS  juruterbang hanya perlu melihat posisi musuh dan sistem automatik akan melakukan bidikan ke atas sasaran. Setiap pergerakan kepala juruterbang akan diikuti oleh sistem senjata pada pesawat. Pelbagai senjata pintar dibangunkan Amerika Syarikat sejak akhir-akhir ini seperti misil EMP yang kami paparkan sebelum ini. Sungguhun begitu kecanggihan teknologi mereka masih belum mampu mengalahkan sepenuhnya  tentera Taliban di Afghanistan. Pengajaran di sini ialah teknologi boleh membantu tetapi tidak menjaminkan kemenangan di medan perang.

No comments: