Thursday, April 14, 2016

Microsoft Menguji Aplikasi Pembantu Maya Pintar Dinamakan Office Now

Microsoft akhir-akhir ini selain daripada memfokuskan kepada Windows 10, mereka juga turut sama memfokuskan kepada aplikasi dan perkhidmatan berbentuk produktiviti. Bercakap mengenai produktiviti, salah satu aplikasi pembantu maya yang sedia dimiliki oleh Microsoft adalah Cortana. Cortana sebelum ini pernah dikatakan mungkin hadir ke beberapa platform lain. Kini, ia dilihat perkara tersebut semakin menghampiri pengesahan, dan mungkin hadir dalam bentuk aplikasi dinamakan Office Now. Melalui beberapa gambar yang tertiris, ia memperlihatkan pengguna boleh melihat jadual harian mereka dengan mudah, menjadualkan sesuatu mesyuarat, membuat carian emel, mendapatkan arah perjalanan ke sesuatu lokasi mesyuarat, menyertai panggilan mesyuarat, membuat senarai tugasan dan sebagainya. Seperti biasa, pengguna boleh menggunakan input suara untuknya. Buat masa ini, aplikasi Office Now ini dilihat lebih memfokuskan kepada produktiviti dan menjadi pembantu peribadi anda dalam menjadualkan aktiviti harian pejabat. Membuka aplikasi tersebut sahaja, ia akan memperlihatkan ringkasan apa yang perlu dilakukan dan sebagainya. Aplikasi ini dijangka akan hadir ke Android, iOS dan Windows, tetapi tidak diketahui lagi bilakah Office Now ini akan dilancarkan.

No comments: