Tuesday, April 12, 2016

Lanesplitter : Kereta Yang Boleh Berubah Menjadi Motosikal

Penggunaan bahan api fosil ialah isu yang akan menjadi semakin runcing dalam masa 20 tahun akan datang. Simpanan minyak dunia dan negara semakin berkurangan dan satu masa nanti harga minyak yang mahal tidak akan dapat dielakkan lagi. Berdemo jalanan selama 16 purnama sekalipun kerajaan tidak akan mempunyai pilihan terpaksa menjual seliter petrol pada harga RM 5.00. Jadi di masa hadapan perkongsian kenderaan ke destinasi, kenderaan lebih lestari dan pengangkutan awam akan menjadi agenda penting kemanusiaan. Lanesplitter ialah kereta hibird yang boleh berubah menjadi dua motosikal apabila diperlukan. Dalam mod roda dua anda masih dilindungi dari hujan dan kepanasan kerana duduk di dalam kokpit. Keselamatan penumpang juga lebih terjamin sekiranya kemalangan berlaku. Ianya mengembangkan lagi konsep perkongsian kereta (car pooling). Katakan anda bekerja di Kuala Lumpur. Isteri anda bekerja di KLCC dan anda bekerja di Menara Maybank. Dengan Lanesplitter anda berdua boleh pergi bekerja bersama tetapi apabila memasuki Jalan Sultan Ismail,  bahagian anda membelok ke arah Maybank dan bahagian isteri anda membelok ke arah Jalan P Ramlee. Tidak lagi perlu anda menghantar isteri ke tempat kerja sebelum bergerak ke pejabat anda. Konsep berinovasi tinggi ini dihasilkan oleh Argodesign. Setiap pod Lanesplitter boleh memuatkan seorang penumpang dan turut mempunyai kemampuan pemanduan automatik. Sebuah idea yang menarik dan mengingatkan kami kepada filem The Dark Knight. Kereta Tumbler Batman boleh berubah menjadi motosikal Badpod apabila diperlukan.

No comments: