Tuesday, April 12, 2016

Glycount : Jam Tangan Pintar Untuk Pesakit Kencing Manis

Jam tangan pintar yang ada di pasaran sekarang mampu mengesan degupan jantung dan jarak perjalanan pemakai. Di dalam kes Apple Watch ia juga boleh digunakan bagi menghantar degupan jantung anda kepada pemakai Apple Watch yang lain. Inovasi yang wujud pada jam pintar memudahkan pengguna mengesan tahap kesihatan mereka setiap hari. Glycount ialah konsep jam pintar yang cuba memudahkan penghidap kencing manis mengesan tahap kandungan gula di dalam badan mereka. Tali jam mempunyai lapisan gel yang mengesan tahap gula di dalam darah secara berterusan. Apabila tahap gula pemakai terlalu tinggi ataupun rendah amaran akan diberikan sebelum situasi kecemasan berlaku. Melalui Glycount pesakit mampu mengesan tahap gula mereka secara berterusan dan data ini boleh dikongsi dengan doktor untuk memperbaiki rutin kesihatan. Konsep ini dihasilkan oleh Indrajeet Bakhale yang berasal dari India. Konsep ini masih kekal di atas kertas kerana sehingga kini tiada lagi sistem yang boleh mengesan tahap gula di dalam darah selain dengan mengesan kandungan darah. Sebagai anak kepada pesakit kencing manis kami mahukan jam pintar Glycount ini menjadi realiti. Sudah beberapa kali juga bapa kami pengsan kerana hipoglisemik ketika bekerja. Dengan amaran pada jam kejadian menakutkan seperti ini dapat dielakkan.

No comments: