Thursday, April 7, 2016

Carplane : Sebuah Lagi Kereta Yang Boleh Berubah Menjadi Pesawat

Filem fiksyen sains Back to The Future dan Bladerunner meramalkan kenderaan terbang akan menjadi pemandangan biasa dalam masa terdekat. Realitinya idea kereta terbang sudah wujud sejak awal kurun ke-20 dan kereta terbang masih belum menjadi realiti. Terdapat beberapa kereta terbang dihasilkan sejak kebelakangan ini dan terkini Carplane diperlihatkan di Jerman. Rekaan Carplane unik kerana saiznya masih sama seperti kereta empat roda konvensional. Kokpit carplane terbelah dua bagi membawa dua penumpang pada waktu yang sama. Sayap Carplane disimpan di antara dua  pod penumpang dan dipasang apabila diperlukan. Menurut pereka Carplane, kereta terbang ini hanya memerlukan landasan sepanjang 85 meter untuk terbang. Ia diperkasakan enjin 151 kuasa kuda yang menggerakkan tayar dan kipas pada belakang kenderaan. Kelajuan maksimum di udara adalah sekitar 200 kmj dan kelajuan di atas darat pula ialah 175 kmj. Jarak penerbangan maksimum pula ialah 833 kilometer. Prototaip penuh Carplane dijangka siap Jun hadapan. Secara peribadi kami lebih teruja dengan kenderaan panduan automatik dari kereta terbang. Ini adalah kerana di Malaysia jika pemandu kereta sekarang dibenarkan terbang, kami yakin insiden kemalangan udara pastinya berlakunya terlalu kerap. Kesopanan dan kesusilaan di dalam Rukun Negara tidak wujud di sanubari pemandu kenderaan Malaysia.

No comments: