Thursday, April 7, 2016

Asus Berkongsi Maklumat Lanjut Berkaitan VivoWatch

Beberapa minggu sebelum ini kita telah mendengar mengenai Asus VivoWatch. Kini, pihak Asus telah menerbitkan halaman rasmi untuk jam tangan pintar berkenaan, sekaligus berkongsi lebih lanjut mengenai peranti berkenaan yang akan dijual di beberapa negara tidak lama lagi. Asus VivoWatch dijana menggunakan sistem operasi tersendiri yang dinamakan sebagai “Kood”. Penggunaan sistem operasi tersendiri ini membolehkan pihak Asus mengoptimasikan pelbagai perkara, termasuk masa bertahan baterinya. Asus mengatakan bateri pada jam tangan pintar ini mampu bertahan sehingga 10 hari lamanya. Asus VivoWatch ini dilihat lebih memfokuskan kepada sokongan kecergasan, dan tidak menawarkan fungsi untuk menjalankan atau menyokong aplikasi pihak ketiga seperti Android Wear atau Samsung Gear. Melalui jam tangan ini, pihak Asus menyertakan beberapa sensor khusus untuk kecergasan – termasuk kebolehan untuk memantau kadar denyutan jantung sepanjang masa, LED untuk memperlihatkan kalori yang dibakar, dan sebuah indeks khusus memperlihatkan kualiti hidup harian anda berdasarkan masa tidur dan kecergasan anda. Asus VivoWatch juga bukan terhad untuk peranti Asus sahaja, sebaliknya boleh digunakan bersama-sama dengan peranti Android jenama lain dan juga iPhone. Asus bakal mulakan jualan Asus VivoWatch ini di Amerika Syarikat pada harga $149 (RM535).

No comments: