Wednesday, February 3, 2016

Toshiba Mengitar Semula Kilang Cakera Keras Menjadi Kebun Sayur

Antara hobi menghabiskan masa kami ialah membaca artikel Wikipedia mengenai sejarah syarikat-syarikat ternama dunia. Biasanya kami menyedari syarikat yang asalnya memulakan perniagaan A kini menjual produk B. Sebagai contoh Nokia memulakan hidupnya sebagai syarikat memproses pulpa kayu.  Samsung pula pada awalnya sebuah syarikat perdagangan sayur dan mengeluarkan mee.  Perubahan hala tuju syarikat berlaku bagi memastikan syarikat kekal relevan dan pembelbagaian sumber syarikat untuk mendapatkan keuntungan. Toshiba ialah syarikat elektronik yang terkenal dengan televisyen dan komponen komputer. Masalah ekonomi dunia dan kebangkitan China sebagai kilang dunia mengakibatkan syarikat ternama Jepun ini mengalami masalah kewangan. Akibatnya banyak kilang terpaksa ditutup. Tetapi sejak kebelakangan ini Toshiba mula memasuki industri perladangan.Sebuah bekas kilang cakera keras di Yokosuka Jepun kini menjadi kebun sayur-sayuran hidrodinamik. Kilang ini ditutup pada tahun 1994 selepas permintaan terhadapnya berkurangan. Toshiba menggunakan kepakaran mereka di dalam teknologi perubatan untuk menanam sayur-sayuran ini di dalam ruang yang bersih sekaligus menghalang kemasukan serangga perosak dan fungus yang merosakkan tanaman. Ini juga bermakna sayur-sayuran berteknologi tinggi ini tidak memerlukan racun perosak sepanjang tempoh tanaman dan lebih selamat untuk dimakan. Kebun berteknologi tinggi ini ialah langkah pertama Toshiba untuk memajukan teknologi penanaman sayur moden. Terdapat perancangan untuk membuka kebun yang menggunakan teknologi yang sama di Timur Tengah dan Russia. Jadi jangan terkejut dalam masa terdekat mungkin kita semua akan membeli sayur cap Toshiba. Teknologi menanam sayur sebegini juga sedang dibangunkan dengan pesat di Singapura dengan penggunaan kebun sayur tergantung. Singapura melaburkan jumlah yang banyak kepada teknologi ini bagi mengurangkan pergantungan mereka kepada Malaysia sebagai sumber bahan makanan segar. Kita tidak dapat meramal masa hadapan dan melihat hala tuju baru syarikat elektronik ternama dunia. Tetapi kami akui selepas menulis artikel ini ada menanam impian mahu makan epal jenama Apple.

No comments: