Wednesday, August 31, 2011

Panduan Sebelum Membeli Jalur Lebar

Anda sukar membuat pilihan untuk melanggan jalur lebar ? Saya sediakan panduan untuk rujukan pembaca. Baik, mari mulakan proses mendapatkan jalur lebar terbaik dan melanggan. Konteks terbaik yang dikatakan oleh penulis bukan bermaksud jalur lebar yang tiada sebarang masalah, pantas apabila memuat turun dan besar kuota lebar jalurnya. Sebaliknya, jalur lebar yang dilanggani mampu memberikan kepuasan kepada saudara sesuai dengan harga yang dibayar kepada syarikat pembekal.

1. Tahu tujuan melanggan jalur lebar
Sebelum melanggan, saudara perlu kenal pasti tujuan saudara menggunakan jalur lebar. Kemas kini status di Facebook ? Muat turun lagu dan filem ? Menambah pendapatan dengan blog ? Atau menonton video di Youtube ? Hal ini kerana saiz kuota lebar jalur yang dipilih akan mempengaruhi kelancaran, kestabilan dan kelajuan jalur lebar yang dilanggan. Contohnya, penulis mendaftar Celcom Broadband pelan pelajar pada harga RM50 untuk kuota 5GB. Dalam seminggu sahaja, kuota yang diperuntukan telah habis digunakan kerana memuat turun siri televisyen kegemaran seperti Chuck, Leverage dan White Collar. 3 minggu yang seterusnya penulis terpaksa mengharungi kelajuan internet yang sangat perlahan akibat melebihi polisi kewajaran penggunaan. Untuk mengatasi masalah ini, penulis sepatutnya memilih P1 WiMax dengan kuota lebar jalur sebanyak 20GB sebulan, yang sesuai untuk pengguna yang gemar bermain permainan video dalam talian (seperti Garena), memuat turun perisian, lagu dan filem terkini serta memuat naik video di Youtube.

2. Pilih perkhidmatan pembekal yang sesuai, bukan yang paling diminati
Maxis, Celcom, DiGi atau P1 Wimax ? Jangan terus terburu2 pergi ke kedai atau pusat khidmat pelanggan untuk terus mendaftar melanggan jalur lebar mereka. Semak betul2 dahulu. Tidak semestinya jikalau saudara menggunakan Maxis Hotlink untuk telefon bimbit mesti memilih Maxis Broadband juga untuk jalur lebar. Ini bukannya masa untuk bertekak dan menunjukkan rasa setia kepada sesuatu jenama. Hebat di telefon bimbit belum menjamin sama hebat di jalur lebar. Penilaian perlu dibuat untuk memaksimumkan kepuasan menggunanya.

3. Pilih pakej, pelan & harga yang sesuai dengan kemampuan & kegunaan
Murah atau mahal ? Secara peribadi, penulis mengesyorkan kepada saudara supaya menggunakan P1 WiMax. Banyak komentar teman2 di Internet memberi maklum balas yang positif sejak kemunculan P1 WiMax selepas memperkenalkan iklan ‘Potong’. Pilihan yang lain ialah Celcom Broadband. Hal ini kerana liputannya yang meluas dan boleh diakses di mana2 sahaja wilayah Celcom. Sekiranya saudara masih belajar di IPT dan umur dibawah 25 tahun, bolehlah mendaftar pakej pelajar dengan bayaran bulanan sebanyak RM50 sahaja untuk kuota 5GB. Memang berbaloi2. Cuma kurang pasti masih ada atau tidak lagi. Kedua2 pilihan di atas merupakan jalur lebar mudah alih yang boleh dibawa ke mana2. Bagaimana pula dengan jalur lebar berwayar ? Streamyx atau Unifi sahaja pilihan yang ada dan boleh dikatakan sebagai terbaik setakat ini.

4. Semak liputan rangkaian jalur lebar
Meluas atau tertentu ? Isu liputan turut mempengaruhi prestasi jalur lebar yang dilanggan. Sekiranya kawasan saudara di luar liputan 3G, maka status jalur lebar saudara menjadi EDGE. Jangan melenting jika prestasi jalur lebar di sesuatu lokasi tidak memberangsangkan. Mungkin kawasan tersebut belum lagi menerima liputan 3G atau kebih baik daripada itu. Dalam situasi penulis, melanggan P1 WiMax dengan kuota 20GB pada harga RM99 dapat memenuhi keperluan berbanding Celcom Broadband pelan pelajar pada harga RM50. Namun begitu, liputan rangkaian P1 WiMax tiada langsung di Parit Buntar. Kebetulan pula Celcom Broadband menawarkan liputan 3G di lokasi belajar dan kediaman penulis. Alasan ini yang menyebabkan penulis tidak beralih arah ke P1 WiMax demi penjimatan dan kepuasan melayari Internet tanpa sebarang masalah. Mengerti ? Liputan rangkaian jalur lebar di Malaysia bermula dengan WiMax (4G), diikuti HSPDA (3G+, 3.5G), UMTS (3G), EDGE (E-GPRS, 2.75G) dan akhir sekali GPRS (2G, 2.5G). Makin besar nombor G, makin baik prestasinya. Selain itu, saudara boleh mengetahui sama ada lokasi saudara termasuk dalam liputan rangkaian jalur lebar / tidak.

5. Terma dan syarat serta perjanjian yang perlu dipatuhi
Berkontrak atau tidak ? Bagaimana tamatkan perkhidmatan ? Penulis mencadangkan kepada saudara supaya tidak memilih langganan jalur lebar secara berkontrak. Dari segi jangka masa panjang, saudara sukar untuk menamatkan perkhidmatan jalur lebar yang dilanggani sekiranya tidak berpuas hati. Penalti akan dikenakan sekiranya pengguna masih mahu berbuat demikian dengan membayar sepanjang baki tempoh kontrak. Tempoh percubaan biasanya diberikan selama 7 hari untuk menilai prestasi jalur lebar yang dilanggan sama ada baik atau tidak. Dalam tempoh ini, saudara boleh membatalkan langganan jika prestasi jalur lebar tidak memuaskan. Selain itu, saudara tidak boleh membuat panggilan menggunakan kad sim jalur lebar. Sekiranya mahu berbuat demikian, saudara perlu mendaftar pelan yang lain. Dengan melanggan jalur lebar sesuatu syarikat pembekal, saudara perlu menuruti polisi, terma dan syarat yang telah ditetapkan. Lain syarikat pembekal, lain polisi, terma dan syarat yang ditetapkan.

p/s : Syor penulis kepada anda adalah P1 Wimax : Terbaik & Konsisten

No comments: