Wednesday, August 24, 2011

Orang Yang Berilmu Sentiasa Mencari Ilmu

Sentiasa tidak cukup ilmu adalah rasa orang berilmu. Orang berilmu adalah orang yang gemar membaca, menggali, serta memahami ilmu yang sedang dipelajari atau pengetahuan yang baru didapati. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud Jadikanlah dirimu orang alim (Berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (Tiga golongan itu) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.

Dengan adanya sifat disebutkan di atas, kehidupan seseorang itu sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan benar. Mereka yang tidak termasuk dalam golongan itu atau ‘bodoh sombong’, mereka adalah golongan bakal mendapat kebinasaan kerana tidak ada pimpinan dapat memandu kepada kebaikan.

Rasulullah S.A.W bersabda Sesiapa yang ditanya mengenai ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (Meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang daripada api neraka pada hari kiamat. (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi). Oleh itu itu jika anda mempunyai ilmu pengetahuan dikongsilah dengan umat manusia lain, tidak akan terhakis ilmu yang anda kongsi.

Gunakanlah ilmu pengetahuan ke arah kebaikan tanpa sebarang perasaan sombong dan ujub dengan ilmu yang ada. Seseorang yang berkelulusan PHD tidak semestinya lebih berilmu dari seseorang yang cuma tamat sekolah menengah. Sesuatu yang saya ketahui mungkin tidak anda ketahui dan sesuatu yang anda ketahui mungkin tidak saya ketahui. Maka sama2lah kita meneruskan pencarian dunia/akhirat dan perkongsian ilmu selagi masih ada nafas di bumi yang indah ini.

No comments: