Tuesday, May 31, 2011

Mafia Boy : How I Cracked Internet

Program The Hour merupakan sebuah program terkenal di Kanada yang dihoskan oleh salah seorang selebriti iaitu George Stromboulopouos. Dalam program tersebut , beliau telah menemubual Michael Calce. Tidak ramai yang mengenali Michael Calce termasuk sayaamun apabila pengacara memperkenalkan Michael Calce sebagai Mafiaboy, seorang remaja Montreal yang pernah menggegarkan dunia internet sekitar tahun 2000 dahulu, ia menarik minat saya untuk menonton keseluruhan program tersebut. Apatah lagi pada waktu itu beliau membicarakan sebuah buku yang ditulis oleh Michael Calce a.k.a Mafiaboy yang berjudul Mafia Boy, How I Cracked Internet and Why it’s Still Leaking dengan mengundangnya sebagai tetamu.

Pada bulan Februari tahun 2000, FBI telah menamakan Mafiaboy sebagai suspek utama yang telah melumpuhkan gergasi perniagaan internet dan enjin carian terkenal pada seperti Yahoo, EBay, CNN dan E-Trade. Enjin carian terkenal, Google masih belum dikenali ramai pada waktu itu. Gergasi internet tersebut perlahan2 mengalami gangguan capaian oleh pengguna sebelum lumpuh sepenuhnya beberapa jam akibat serangan penafian perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai Denial of Services, DoS. Serangan beberapa jam tersebut menyebabkan kerugian yg dianggarkan sekitar 18 juta dolar.

Kejadian yang menggemparkan itu berlaku akibat aktiviti penggodaman sistem rangkaian komputer yang dilakukan oleh seorang remaja berusia 15 tahun dari sebuah bilik di rumah kedua ibu bapanya di Montreal, Kanada. Insiden tersebut telah menarik perhatian Presiden Amerika ketika itu iaitu Bill Clinton. Clinton membuat sidang akhbar tergempar di White House menggesa supaya kejadian jenayah inernet tersebut perlu disiasat dan pesalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan seberapa segera. Selepas sidang akhbar Bill Clinton tersebut, pihak FBI dan RCMP mula menjalankan penyiasatan besar-besaran untuk memberkas ’penjenayah’ yang dianggap merbahaya.

Siasatan selama hampir 10 bulan telah menemukan Michael Calce yang pada waktu itu berusia 15 tahun yang sedang menonton TV di rumah rakannya selepas melumpuhkan rangkaian terbesar internet. Hacker Dalam buku ini, Mafiaboy menceritakan bagaimana dia dicabar oleh rakan-rakan maya melalui laman perbualan internet Internet Relay Chat (IRC), supaya menceroboh rangkaian yang dimiliki oleh syarikat internet terkenal seperti Yahoo dan Ebay. Terdorong oleh cabaran teman-temannya di internet, Michael Calce atau Mafiaboy mempelajari teknik-teknik tertentu bagaimana untuk melumpuhkan sasaran. Mentor-mentornya pada waktu itu tidak lain dan tidak bukan adalah bahan bacaan dalam internet dan juga beberapa rakan maya yang dikenali di dalam talian.

Dia tidak menyedari bahawa beberapa orang pegawai penyiasat FBI sedang mengawasi aktivitinya dalam internet dengan menyamar sebagai salah seorang rakannya. Pencarian FBI dan RCMP membuahkan hasil apabila Mafiaboy tertangkap akibat kesilapan mendedahkan lokasi dan identitinya kepada FBI di dalam internet. Mafiaboy dikenakan tahanan juvana akibat kesalahan tersebut dan dibebaskan dengan jaminan polis serta beberapa sekatan untuk tidak menggunakan komputer dalam tempoh tertentu. Dalam program The Hour yang juga boleh ditonton melalui laman Youtube, Mafiaboy tampil mendedahkan rahsia dan kekesalannya di sebalik insiden tersebut.

Buku setebal 270 muka surat ini merupakan satu kisah benar yang ditulis oleh Michael Calce bersama seorang wartawan Craig Silverman tentang bagaimana dia mula terjebak dengan aktiviti penggodaman. Bermula dengan kisah bagaimana dia di dedahkan dengan dunia komputer sejak berusia 8 tahun oleh ibubapanya, mula mengenali dunia internet, sifat ingin tahu yang tinggi (curiosity) mengenai program komputer, Internet Relay Chat (IRC) dan juga aktiviti ‘hacking’, segalanya diceritakan satu persatu menurut bahasa penceritaan yang mudah difahami oleh orang awam. Buku ini ditulis untuk bacaan orang awam yang ingin mengetahui realiti sebenar kisah seorang penggodam dan remaja yang sedang mencari-cari hala tuju dalam hidup.

Perkembangan internet banyak mengubah minda para remaja dalam membentuk kaedah berfikir dan melihat kuasa internet sebagai alat untuk melepaskan diri dari masalah seharian yang dihadapi. Di samping itu, aktiviti hacking atau penggodaman ini timbul dari sifat ingin tahu yang meluap-luap yang ada pada diri setiap remaja. Michale Calce yang salah seorang dari remaja tersebut, melepaskan keghairahannya mengenai teknologi maklumat dengan mempelajari teknik2 menggodam tanpa dikawal oleh kedua ibubapanya yang berpisah sejak sejak dia masih di peringkat kanak2. Buku ini lebih merupakan kesinambungan sebuah lagi buku yang ditulis oleh Dan Verton pada tahun 2002 yang berjudul The Hacker Diaries : Confession of Teenage Hackers yang memaparkan profil beberapa remaja yang dianggap mengancam keselamatan internet.

Melalui buku ini jugalah, penulis mula mengetahui nama MafiaBoy dan berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya mengenai remaja ini yang mula melakukan aktiviti ‘hacking’ sejak berusia 12 tahun. Kemunculan Mafia Boy, How I Cracked Internet and Why it’s Still Leaking, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2008 melengkapkan lagi koleksi penulis mengenai hackers dan aktiviti-aktiviti mereka yang saya kira merupakan satu kembara pengetahuan dalam dunia teknologi komputer dan internet. Dalam bab kedua terakhir buku terbitan Penguin Book ini, dicatatkan bagaimana untuk melindungi komputer dari diceroboh dengan tajuk ‘ The Mafiaboy Guide to Protecting Yourself Online.

No comments: