Saturday, March 12, 2011

Mengurus Kewangan Peribadi Anda

Langkah 1 : Menentukan Matlamat Kewangan Anda
Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda untuk berbelanja dengan lebih bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana atau panjang.

Langkah 2 : Menjejaki Kemana Perginya Wang Anda
Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian ini, anda dapat mengetahui ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda, berapa banyak hutang anda setiap bulan dan berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan.

Langkah 3 : Menilai Tabiat Berbelanja Anda
Jika wang anda tidak berbaki pada penghujung setiap bulan, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja anda. Teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan sama ada apa yang telah anda beli ialah barangan yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda.

Langkah 4 : Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda
Pelan perbelanjaan membantu anda merancang kewangan. Anda boleh mengesan ke mana duit anda dibelanjakan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan tersebut dan mula merancang simpanan anda. Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan menentukan jumlah pendapat bulanan anda dan senaraikan semua jumlah perbelanjaan anda dalam sebulan.

No comments: