Monday, April 18, 2016

Microsoft Malaysia Mengumumkan Dua Lagi Kedai Microsoft – Di One Utama dan The Gardens

Nampaknya, kini Microsoft benar-benar sibuk dalam menjenamakan semula pelbagai kedai Nokia kepada Microsoft. Pada awal bulan ini mereka telah memulakan usaha penjenamaan semula di KLCC, dan kini ia turut dilanjutkan ke beberapa lokasi lain. Pada minggu ini, Microsoft bakal melancarkan kedai Microsoft Authorized Reseller mereka di The Gardens dan juga One Utama. Seperti yang dilancarkan di KLCC dan juga Sunway Pyrami, kedai Microsoft ini akan menawarkan pengalaman pelbagai produk dan perkhidmatan Microsoft, disamping membolehkan pengguna mencuba pelbagai produk Microsoft di lokasi tersebut. Produk seperti Surface dan Lumia adalah salah satu perkara wajib, selain Microsoft turut mempertontonkan sokongan perisian Windows, Office 365 dan sebagainya. Untuk pembukaan di The Gardens dan juga One Utama ini, masing-masing pada 30 Mei dan juga 31 Mei, Microsoft Malaysia menyediakan beberapa promosi khusus, termasuk seperti penawaran Type Cover percuma untuk pembelian Surface Pro 3, selain Monster Headphone percuma untuk 30 pembeli peranti Lumia atau Surface.

Pra-Jualan Huawei P8

Huawei telah melancarkan Huawei P8 pada bulan lepas, dan kini mereka dalam persiapan akhir untuk melancarkan telefon pintar berkenaan untuk pasaran tempatan. Huawei sedia menjadualkan acara pelancaran di Singapura pada 1 Jun kelak, tetapi kini lebih awal, mereka telah memulakan pendaftaran minat untuk jualan Huawei P8 dan juga Huawei Talkband B2 di Malaysia. Huawei masih tidak mengumumkan harga jualannya lagi buat masa ini. Tetapi daripada apa yang dikongsikan di laman Facebook, Huawei dilihat akan memulakan pra-jualan untuk Huawei P8 bersama-sama Talkband B2 pada 2 Jun ini melalui laman VMall. Tiada harga yang diumumkan buat masa ini, tetapi Huawei mengatakan mereka akan menyediakan aksesori percuma, selain kupon diskaun untuk Talkband B2 bagi pembelian Huawei P8. Bagi anda yang menantikan untuk mendapatkan telefon pintar Huawei P8 ini, anda boleh mendaftarkan minat hari ini di laman VMall. Huawei P8 merupakan telefon pintar terbaru daripada Huawei yang telah dilancarkan pada bulan April lepas. Ia membawakan rekaan berasaskan logam, skrin bersaiz 5.2-inci, dilengkapi cip pemprosesan Kirin 930. Menjadi salah satu fokus pada peranti ini adalah kamera belakang 13-megapixel yang mana turut dilengkapi dengan beberapa sokongan menarik, termasuk kebolehan untuk merakamkan gerakan cahaya dan sebagainya.

Microsoft Memperkenalkan Office Lens Untuk Android

Terdapat beberapa perkhidmatan yang menawarkan sokongan teknologi untuk mengimbas teks pada kertas mahupun papan putih, dan seterusnya mengubah ia kepada paparan digital. Terkini, Microsoft turut menawarkan sokongan sama untuk pengguna Android melalui aplikasi baru mereka dinamakan sebagai Office Lens. Namun, berbeza dengan pelbagai aplikasi lain, salah satu perkara yang membezakan penawaran Microsoft Office Lens ini adalah integrasi teknologi OCR. Menggunakannya, ia akan mengenal-pasti teks yang terdapat pada gambar yang diimbas, kemudian memudahkan para pengguna untuk membuat carian atau menyuntingnya menggunakan Word atau PowerPoint. Setiap gambar yang diimbas juga turut boleh disimpan terus ke OneNote dan OneDrive dengan mudah. Bagi anda yang banyak terlibat dengan pengurusan dokumen, mungkin Office Lens ini akan membantu anda. Anda boleh memuat-turunnya secara percuma hari ini terus daripada Google Play Store untuk Android, ataupun di Apple AppStore untuk iPhone serta iPad. Muat-Turun Office Lens untuk Android https://play.google.com/store/apps/details?id=com.microsoft.office.officelens

Facebook Menguji Ujian Semakan Sekuriti Baru Untuk Memastikan Akaun Anda Kekal Selamat

Dengan ratusan juta pengguna yang menggunakan perkhidmatan sosial Facebook setiap hari, salah satu perkara yang menjadi igauan adalah berkenaan dengan keselamatan, dan mengelak akaun digodam serta sebagainya. Facebook pernah mencuba sebuah fungsi semakan sekuriti tidak lama sebelum ini, dan mungkin impaknya tidak begitu besar. Terkini, gergasi sosial berkenaan turut mengumumkan yang mana mereka sedang dalam proses memperkenalkan ujian semakan sekuriti dalam memastikan para pengguna kekal selamat. Menggunakannya, pengguna boleh membuat semakan berkaitan sesi-sesi Facebook mereka yang masih aktif pada peranti lain, mengubah kata-laluan, menyemak Login Alerts dan sebagainya dengan mudah pada tetingkap sama. Seperti biasa ujian ini diperkenalkan secara berperingkat, dan mungkin semua akan dapat mengaksesnya tidak lama lagi.

Jualan Xiaomi Sempena Ulang-Tahun Pertama Di Malaysia Bermula – Diskaun Sehingga 90%

Xiaomi telah memasuki pasaran Malaysia secara rasminya pada tahun lepas, dan hari ini bersempena dengan ulang-tahun pertama, Xiaomi telah pun memulakan jualan khas dengan pelbagai promosi menarik kepada para pengguna. Menjadi peranti fokus utama mereka hari ini adalah Xiaomi Mi4i yang mana telah dilancarkan baru-baru ini, membawakan peranti berspesifikasi pertengahan tetapi dengan beberapa ciri-ciri peranti flaghsip. Selain daripada itu, pengguna juga boleh dapatkan Redmi 2 dan Mi Pad (tablet daripada Xiaomi) dalam bentuk jualan terbuka. Xiaomi juga menawarkan sejumlah aksesori mereka dengan potongan harga, termasuk jualan khusus untuk pengguna PayPal. Seperti biasa, anda boleh mendapatkan Mi Headphone, Mi In-Ear Headphone, Mi Power Bank, Mi Band dan pelbagai pelindung skrin dan kerangka terus melalui web mereka pada harga yang lebih murah berbanding kebiasaan. Layari : Xiaomi Malaysia http://www.mi.com/my/

Macintosh Phone – Sekiranya iPhone Dihasilkan 30 Tahun Yang Lalu

Tidak dapat disangkal bahawa kemunculan iPhone pada tahun 2007 mengubah kehidupan manusia. Peranti pintar dengan skrin sesentuh yang kini digunakan secara meluas boleh dikesan susur galurnya  kembali kepada Apple iPhone. Kita semua tahu bahawa telefon mudah alih pertama di dunia adalah Motorola DynaTAC yang dihasilkan pada tahun 1984. Persoalan sekarang ialah apakah terjadi sekiranya Apple menghasilkan telefon pintar mudah alih pertama dunia pada waktu yang sama? Jawapannya mungkin Macintoh Phone seperti di bawah. Konsep retro ini adalah karya Pierre Cerveau. Ia mempunyai rekaan seakan sebuah komputer Macintosh dengan pendail berputar seperti telefon klasik. Sebuah konsep yang menarik walalupun kurang praktikal. Tetapi cuba bayangkan dunia sekiranya telefon pintar telah wujud sejak 31 tahun yang lalu. Mungkin sekarang anda memegang telefon pintar lutsinar di dalam tangan ataupun yang dipasang secara terus kepada saraf otik mata anda.

Lenovo Cast Diperkenalkan

Terdapat beberapa peranti yang menyokong penstriman kandungan daripada peranti mudah-alih ke televisyen dan monitor, dan salah satu yang popular dan digunakan ramai adalah Chromecast. Selain Google, kini, Lenovo turut memperkenalkan sebuah peranti dengan fungsi seumpamanya, dinamakan sebagai Lenovo Cast. Lenovo Cast hadir dalam rekaan berbentuk bulat sebesar tapak tangan, dan boleh dihubungkan ke televisyen atau skrin paparan lain melalui sokongan HDMI. Ia menggunakan teknologi DLNA dan Miracast untuk menerima kandungan dan menghantarnya ke paparan melalui HDMI. Dari segi sokongan, Lenovo mengatakan ia menyokong telefon Android dan iOS, selain peranti terpilih berasaskan Windows 8.1. Lenovo Cast ini bakal dijual di pasaran bermula Ogos pada harga $49 (RM178).