Google terus menambah-baik sokongan tersebut dengan mengumumkan Google Now On Tap. Google Now sebelum ini telah sedia menyokong kemudahan untuk memudahkan pengguna membuat peringatan, membuka aplikasi, dan memaparkan notifikasi seperti lokasi parkir, tiket penerbangan dan sebagainya. Melalui Now On Tap, kini Google membawa sokongan Google Now terus untuk diakses pada mana-mana aplikasi, selain memudahkan lagi pengguna mendapatkan informasi. Google memperlihatkan kebolehan untuk pengguna membuka sebarang aplikasi, dan membuat carian atau mendapatkan informasi lanjut berkaitan sesuatu perkara dalam aplikasi berkenaan dengan mudah. Pengguna hanya perlu tap sementara pada butang Home, dan Google Now On Tap akan dimulakan, dan memaparkan informasi yang dikehendaki anda. Gokongan Google Now On Tap ini berfungsi tanpa mengira aplikasi, dan Google mengatakan ia memerlukan Android M untuk berfungsi.
Monday, April 18, 2016
Aplikasi Inbox Daripada Google
Pada bulan Oktober yang lepas, pasukan disebalik GMail telah hadir dengan sebuah aplikasi baru dalam usaha memudahkan akses emel pada peranti mudah-alih dan menyusunnya dalam konteks yang mudah digunakan, dinamakan sebagai Inbox. Ketika pengenalan, seperti biasa jemputan diperlukan untuk menggunakannya, dan kini Google secara rasminya membuka ia untuk digunakan oleh semua tanpa memerlukan sebarang jemputan. Google juga mengemaskini aplikasi inbox dengan beberapa fungsi baru. Salah satunya adalah kebolehan untuk Undo penghantaran emel sekiranya terdapat sebarang kesalahan sebaik sahaja menghantarnya. Google juga turut mengintegrasikan ia dengan Google Keep, membolehkan peringatan yang disimpan di Keep dipaparkan pada Inbox. Bagi pengguna yang berminat, anda boleh memuat-turun Inbox pada Android dan iOS. Layari : Google Inbox http://www.google.com/inbox
Google Memperkenalkan Photos
Google hari ini telah berkongsi mengenai beberapa produk baru mereka, dimana selain daripada Android M, Google turut sama memperkenalkan salah satu perkhidmatan baru mereka dinamakan sebagai Google Photos. Google Photos ditawarkan untuk Android, iOS dan juga web bermula daripada hari ini, dimana Google mengatakan mereka menawarkan storan tanpa had untuk perkhidmatan tersebut, membolehkan pengguna menyimpan gambar pada resolusi 16megapixel, serta video pada resolusi 1080p. Bercakap mengenai Google Photos, pihak Google menyertakan pelbagai beberapa ciri-ciri pintar, selain menjadikannya lebih menarik pada peranti mudah-alih dengan skrin kecil. Google Photos hadir dengan integrasi carian pintar, membolehkan setiap gambar yang tersimpan pada Google Photos dikategorikan mengikut wajah pengguna, lokasi dan sebagainya. Pengguna juga boleh menatal dengan mudah dengan sama ada pinch-zoom, atau menatal ia ke bawah dan melihatnya mengikut perkembangan masa. Google Photos turut mengintegrasikan sebuah sokongan dinamakan Assistant, membolehkan pengguna hadir dengan gambar dan video yang digabungkan secara automatik sebagai sebuah koleksi atau video yang menarik – sebelum ini dikenali sebagai Auto Awesome. Pengguna boleh seterusnya memilih untuk menyimpan ia atau memadamnya. Google turut mengatakan kini pengguna boleh berkongsi semua gambar dengan mudah, dimana hanya perlu memilih ia dan tap pada butang perkongsian, seterusnya membuat pautan dengan pilihan pertama yang dipaparkan. Google akan menawarkan Google Photos bermula hari ini untuk Android dan iOS, selain turut membolehkan pengguna mengaksesnya melalui web.
Google Mengumumkan Project Brillo
Google sedia mempunyai beberapa platform, termasuk Android dan juga Chrome. Hari ini, mereka menambah satu lagi platform dibawah mereka dinamakan sebagai Project Brillo – dimana ia menyasarkan kepada penggunaan peranti berhubung (IoT). Menurut Google, Project Brillo ini adalah berasaskan kepada Android, tetapi ia lebih dioptimasikan untuk penggunaan peranti berkuasa rendah. Ia menyertakan sokongan Bluetooth LE, WiFi dan sebagainya. Disamping Project Brillo, untuk peranti berhubung ini juga, pihak Google turut mengumumkan Weave. Weave ditujukan kepada para pembangun dalam memudahkan setiap peranti berinteraksi antara satu sama lain – sebagai contoh untuk menggunakan kamera dan sebagainya. Dengan pengenalan kedua-dua ini, Google berharap ia akan menjadi salah satu piawaian untuk peranti berhubung, dan memudahkan lagi ia diintegrasikan dengan platform-platform sedia ada – apatah lagi dengan sokongan pihak Google disebaliknya. Project Brillo akan ditawarkan kepada pembangun bermula suku ketiga 2015 ini, sementara Weave akan menyusul pada suku tahun seterusnya.
Microsoft Malaysia Mengumumkan Dua Lagi Kedai Microsoft – Di One Utama dan The Gardens
Nampaknya, kini Microsoft benar-benar sibuk dalam menjenamakan semula pelbagai kedai Nokia kepada Microsoft. Pada awal bulan ini mereka telah memulakan usaha penjenamaan semula di KLCC, dan kini ia turut dilanjutkan ke beberapa lokasi lain. Pada minggu ini, Microsoft bakal melancarkan kedai Microsoft Authorized Reseller mereka di The Gardens dan juga One Utama. Seperti yang dilancarkan di KLCC dan juga Sunway Pyrami, kedai Microsoft ini akan menawarkan pengalaman pelbagai produk dan perkhidmatan Microsoft, disamping membolehkan pengguna mencuba pelbagai produk Microsoft di lokasi tersebut. Produk seperti Surface dan Lumia adalah salah satu perkara wajib, selain Microsoft turut mempertontonkan sokongan perisian Windows, Office 365 dan sebagainya. Untuk pembukaan di The Gardens dan juga One Utama ini, masing-masing pada 30 Mei dan juga 31 Mei, Microsoft Malaysia menyediakan beberapa promosi khusus, termasuk seperti penawaran Type Cover percuma untuk pembelian Surface Pro 3, selain Monster Headphone percuma untuk 30 pembeli peranti Lumia atau Surface.
Pra-Jualan Huawei P8
Huawei telah melancarkan Huawei P8 pada bulan lepas, dan kini mereka dalam persiapan akhir untuk melancarkan telefon pintar berkenaan untuk pasaran tempatan. Huawei sedia menjadualkan acara pelancaran di Singapura pada 1 Jun kelak, tetapi kini lebih awal, mereka telah memulakan pendaftaran minat untuk jualan Huawei P8 dan juga Huawei Talkband B2 di Malaysia. Huawei masih tidak mengumumkan harga jualannya lagi buat masa ini. Tetapi daripada apa yang dikongsikan di laman Facebook, Huawei dilihat akan memulakan pra-jualan untuk Huawei P8 bersama-sama Talkband B2 pada 2 Jun ini melalui laman VMall. Tiada harga yang diumumkan buat masa ini, tetapi Huawei mengatakan mereka akan menyediakan aksesori percuma, selain kupon diskaun untuk Talkband B2 bagi pembelian Huawei P8. Bagi anda yang menantikan untuk mendapatkan telefon pintar Huawei P8 ini, anda boleh mendaftarkan minat hari ini di laman VMall. Huawei P8 merupakan telefon pintar terbaru daripada Huawei yang telah dilancarkan pada bulan April lepas. Ia membawakan rekaan berasaskan logam, skrin bersaiz 5.2-inci, dilengkapi cip pemprosesan Kirin 930. Menjadi salah satu fokus pada peranti ini adalah kamera belakang 13-megapixel yang mana turut dilengkapi dengan beberapa sokongan menarik, termasuk kebolehan untuk merakamkan gerakan cahaya dan sebagainya.
Microsoft Memperkenalkan Office Lens Untuk Android
Terdapat beberapa perkhidmatan yang menawarkan sokongan teknologi untuk mengimbas teks pada kertas mahupun papan putih, dan seterusnya mengubah ia kepada paparan digital. Terkini, Microsoft turut menawarkan sokongan sama untuk pengguna Android melalui aplikasi baru mereka dinamakan sebagai Office Lens. Namun, berbeza dengan pelbagai aplikasi lain, salah satu perkara yang membezakan penawaran Microsoft Office Lens ini adalah integrasi teknologi OCR. Menggunakannya, ia akan mengenal-pasti teks yang terdapat pada gambar yang diimbas, kemudian memudahkan para pengguna untuk membuat carian atau menyuntingnya menggunakan Word atau PowerPoint. Setiap gambar yang diimbas juga turut boleh disimpan terus ke OneNote dan OneDrive dengan mudah. Bagi anda yang banyak terlibat dengan pengurusan dokumen, mungkin Office Lens ini akan membantu anda. Anda boleh memuat-turunnya secara percuma hari ini terus daripada Google Play Store untuk Android, ataupun di Apple AppStore untuk iPhone serta iPad. Muat-Turun Office Lens untuk Android https://play.google.com/store/apps/details?id=com.microsoft.office.officelens
Facebook Menguji Ujian Semakan Sekuriti Baru Untuk Memastikan Akaun Anda Kekal Selamat
Dengan ratusan juta pengguna yang menggunakan perkhidmatan sosial Facebook setiap hari, salah satu perkara yang menjadi igauan adalah berkenaan dengan keselamatan, dan mengelak akaun digodam serta sebagainya. Facebook pernah mencuba sebuah fungsi semakan sekuriti tidak lama sebelum ini, dan mungkin impaknya tidak begitu besar. Terkini, gergasi sosial berkenaan turut mengumumkan yang mana mereka sedang dalam proses memperkenalkan ujian semakan sekuriti dalam memastikan para pengguna kekal selamat. Menggunakannya, pengguna boleh membuat semakan berkaitan sesi-sesi Facebook mereka yang masih aktif pada peranti lain, mengubah kata-laluan, menyemak Login Alerts dan sebagainya dengan mudah pada tetingkap sama. Seperti biasa ujian ini diperkenalkan secara berperingkat, dan mungkin semua akan dapat mengaksesnya tidak lama lagi.
Jualan Xiaomi Sempena Ulang-Tahun Pertama Di Malaysia Bermula – Diskaun Sehingga 90%
Xiaomi telah memasuki pasaran Malaysia secara rasminya pada tahun lepas, dan hari ini bersempena dengan ulang-tahun pertama, Xiaomi telah pun memulakan jualan khas dengan pelbagai promosi menarik kepada para pengguna. Menjadi peranti fokus utama mereka hari ini adalah Xiaomi Mi4i yang mana telah dilancarkan baru-baru ini, membawakan peranti berspesifikasi pertengahan tetapi dengan beberapa ciri-ciri peranti flaghsip. Selain daripada itu, pengguna juga boleh dapatkan Redmi 2 dan Mi Pad (tablet daripada Xiaomi) dalam bentuk jualan terbuka. Xiaomi juga menawarkan sejumlah aksesori mereka dengan potongan harga, termasuk jualan khusus untuk pengguna PayPal. Seperti biasa, anda boleh mendapatkan Mi Headphone, Mi In-Ear Headphone, Mi Power Bank, Mi Band dan pelbagai pelindung skrin dan kerangka terus melalui web mereka pada harga yang lebih murah berbanding kebiasaan. Layari : Xiaomi Malaysia http://www.mi.com/my/
Macintosh Phone – Sekiranya iPhone Dihasilkan 30 Tahun Yang Lalu
Tidak dapat disangkal bahawa kemunculan iPhone pada tahun 2007 mengubah kehidupan manusia. Peranti pintar dengan skrin sesentuh yang kini digunakan secara meluas boleh dikesan susur galurnya kembali kepada Apple iPhone. Kita semua tahu bahawa telefon mudah alih pertama di dunia adalah Motorola DynaTAC yang dihasilkan pada tahun 1984. Persoalan sekarang ialah apakah terjadi sekiranya Apple menghasilkan telefon pintar mudah alih pertama dunia pada waktu yang sama? Jawapannya mungkin Macintoh Phone seperti di bawah. Konsep retro ini adalah karya Pierre Cerveau. Ia mempunyai rekaan seakan sebuah komputer Macintosh dengan pendail berputar seperti telefon klasik. Sebuah konsep yang menarik walalupun kurang praktikal. Tetapi cuba bayangkan dunia sekiranya telefon pintar telah wujud sejak 31 tahun yang lalu. Mungkin sekarang anda memegang telefon pintar lutsinar di dalam tangan ataupun yang dipasang secara terus kepada saraf otik mata anda.
Lenovo Cast Diperkenalkan
Terdapat beberapa peranti yang menyokong penstriman kandungan daripada peranti mudah-alih ke televisyen dan monitor, dan salah satu yang popular dan digunakan ramai adalah Chromecast. Selain Google, kini, Lenovo turut memperkenalkan sebuah peranti dengan fungsi seumpamanya, dinamakan sebagai Lenovo Cast. Lenovo Cast hadir dalam rekaan berbentuk bulat sebesar tapak tangan, dan boleh dihubungkan ke televisyen atau skrin paparan lain melalui sokongan HDMI. Ia menggunakan teknologi DLNA dan Miracast untuk menerima kandungan dan menghantarnya ke paparan melalui HDMI. Dari segi sokongan, Lenovo mengatakan ia menyokong telefon Android dan iOS, selain peranti terpilih berasaskan Windows 8.1. Lenovo Cast ini bakal dijual di pasaran bermula Ogos pada harga $49 (RM178).
GoPro Bakal Memperkenalkan Cagak Untuk VR Pada Tahun Ini, Dron Pada Tahun Hadapan
GoPro merupakan salah satu jenama popular dalam arena kamera aksi yang sering digunakan ramai untuk merakamkan aktiviti lasak dan sukan menggunakannya. Selain GoPro, terdapat beberapa syarikat lain yang turut menyertai arena sama, dan dalam usaha mengekalkan kelebihan mereka, hari ini CEO GoPro berkongsi beberapa perancangan untuk syarikat berkenaan. Menurut CEO GoPro, pada tahun ini mereka bakal memperkenalkan sebuah cagak khusus untuk VR (realiti-maya), membolehkan pengguna menghubungkan enam kamera GoPro dan merakamkan gambar dan video untuk realiti-maya. Seperti ramai sedia maklum, beberapa penyedia telah menawarkan kemudahan untuk seperti kaca mata dan aksesori untuk menikmati kandungan realiti-maya, tetapi untuk GoPro, mereka memfokuskan untuk bagaimana hadir dan hasilkan kandungan tersebut. Selain daripada itu, GoPro turut mengatakan mereka sedang membangunkan dron tersendiri, dan bakal memperkenalkan ia pada pertengahan kedua 2016 kelak. Info mengenai dron ini masih tidak dikongsikan sepenuhnya, tetapi melalui desas-desus tahun lepas, ia dikatakan GoPro akan hadir dengan quadcopter yang dilengkapi sokongan rakaman untuk memudahkan rakaman daripada kedudukan yang tinggi dengan mudah.
Zeaplus Watch DM360 : Klon Moto360 Dari China
Beberapa bulan yang lalu ada kami paparkan Zeaplus Watch, klon murahan Apple Watch yang dijual terlebih dahulu daripada Apple Watch. Syarikat yang sama kini dengan berani menghasilkan Zeaplus Watch DM360, jam tangan pintar klon kepada Motorola Moto 360. Rekaan skrin bulat dikekalkan dengan tali diperbuat daripada kulit. Spesifikasi ialah skrin 1.2″ IPS LCD (240x 240 pixel), pemproses MediaTek MTK2502A, RAM 32 MB dan muatan dalaman 128 MB. Zeaplus Watch DM360 mempunyai pengesan nadi, berjalan kaki, tidur, kalis air IP67 dan kemampuan melakukan panggilan telefon secara tambatan Bluetooth. Ia menyokong peranti iOS dan juga Android. Harga jualan adalah jauh lebih murah daripada Moto360 iaitu hanya $99 seutas.
Lenovo Memperlihatkan Konsep Jam Pintar Dengan Dua Skrin Berteknologi Magic View
Sungguhpun jam pintar semakin diterima oleh pengguna, ia masih mempunyai beberapa kekurangan apabila dibandingkan dengan sebuah telefon pintar. Paparan skrin yang kecil contohnya menghadkan ruang untuk penggunaan aplikasi peta. Menyedari hakikat ini Lenovo memperlihatkan konsep jam tangan pintar dengan skrin kedua pada bahagian tali. Paparan skrin kedua ini diberi nama Magic View. Apakah membuatkan paparan skrin kedua Magic View lebih baik berbanding paparan sebelum ini? Menurut Lenovo apabila pemakai meletakkan mata berhampiran skrin Magic View, ia akan memberikan paparan maya seperti melihat skrin yang lebih besar. Skrin Magic View ini juga hanya boleh dilihat oleh pemakai dan ini mengekalkan privasi pengguna ketika menonton video di tempat awam. Rekaan jam tangan konsep ini adalah seakan-akan sebuah Motorola Moto 360. Nampaknya Lenovo menggunakan kepakaran Motorola yang kini dimiliki oleh mereka sejak Oktober tahun lalu.
Reelcase : Cangkerang iPhone Dengan Tali Gantung Leher Terbina
Pada zaman awal penggunaan telefon mudah alih, terdapat trend menggantung peranti anda di leher. Alasannya ialah untuk menunjuk-nunjuk telefon pintar apakah yang anda gunakan kepada orang ramai. Telefon mudah alih pada waktu tersebut menjadi aksesori seperti rantai dan menjadi status kekayaan seseorang. Trend ini tidak lagi wujud kerana ramai menyedari ia menjadikan anda magnet kepada peragut. Tetapi ini tidak bermakna peranti pintar anda tidak harus digantung lagi. Sebenarnya di dalam beberapa situasi anda mahukan peranti tergantung supaya mudah diakses. Oleh itu cangkerang iPhone Reelcase kini wujud di pasaran. Pada bahagian belakang cangkerang ini terdapat lanyard terbina. Apabila diperlukan ia boleh ditarik keluar dan digunakan untuk menggantungkan peranti pada leher. Kini anda boleh menunggang motosikal dan mendaki bukit dengan tenang tanpa perlu risau peranti terjatuh ketika cuba dikeluarkan dari poket. Ia akan tergantung pada leher bagi memudahkan penggunaan. Selepas tidak lagi diperlukan tali boleh disimpan semula dengan kemas. Cangkerang ini menyokong iPhone 5, 5S dan 6. Harga jualan puala ialah $29 sebuah.
Lenovo Smart Cast
Telefon pintar dengan projektor terbina bukan sesuatu yang baru, tetapi kini Lenovo hadir dengan sebuah konsep baru, membolehkan projektor tersebut memancarkan ia ke permukaan, dan membolehkan pengguna berinteraksi dengan menggunakannya. Dinamakan sebagai Smart Cast, Lenovo menamakannya sebagai telefon pintar pertama dengan laser projektor terbina. Ia boleh digunakan dalam dua mod, iaitu memancarkan skrin ke dinding untuk memaparkan kandungan media dan menikmatinya, selain memancarkan skrin ke hadapan anda dan berinteraksi menggunakannya. Konsep kedua tersebut agak menarik, dimana sebagai contoh anda boleh membuka dokumen dan kemudian memancarkan papan kekunci ke arah anda untuk menaip terus padanya. Buat masa ini, ia tidak lagi diketahui sama ada pihak Lenovo akan menjual peranti ini secara meluas, ataupun ia hanya sekadar memperlihatkan teknologi mereka sahaja. Bagi anda, jika ia dijual, adakah anda akan mendapatkannya?
Fedora 22 Dilancarkan Secara Rasmi
Dalam arena sistem operasi Linux, terdapat beberapa versi yang popular dan diminati ramai. Salah satunya adalah Fedora. Hari ini, pembangun disebalik Fedora secara rasminya telah pun mengumumkan pelancaran Fedora 22 yang sedia dimuat-turun untuk digunakan pada komputer atau pada pelayan dan juga workstation. Fedora 22 ini merupakan kemaskini kepada sistem operasi Fedora sebelum ini, dimana ia dilengkapi dengan pelbagai kemaskini perisian terbaru, termasuk penggunaan kernel Linux terkini. Fedora 22 turut menyertakan sejumlah sokongan baru untuk pentadbir pelayan, selain turut menyertakan sokongan tema dan notifikasi yang lebih baik. Beberapa perisian turut direkabentuk kembali dan diberikan nafas baru – dimana antaranya adalah rekaan Files, perisian paparan imej, serta paparan lebih banyak data melalui aplikasi Software. Bagi pengguna Fedora, anda boleh naik-taraf pemasangan sedia anda, atau anda juga turut boleh memilih untuk memuat-turun versi penuhnya secara percuma hari ini. Muat-Turun Fedora 22 https://getfedora.org/
Apple iPhone 6S Bakal Menyertakan Skrin Sentuh Dengan Sokongan Force Touch
Apple pada tahun ini telah memperkenalkan sokongan Force Touch pada komputer riba Macbook mereka, dan kini beberapa laporan hadir turut mengatakan Apple bakal mengintegrasikan sokongan teknologi yang sama pada iPhone generasi akan datang mereka – “iPhone 6S”. Fungsi Force Touch ini juga bakal disokong pada iOS9, membolehkan para pembangun mengintegrasikan sokongan Force Touch pada aplikasi yang dibangunkan mereka. Dari segi penggunaan, Force Touch ini dikatakan akan membawakan beberapa bentuk kawalan baru – dan salah satunya mengubah interaksi press-hold. Bagi yang tidak pernah mencuba Force Touch, ia membawakan kebolehan untuk skrin tersebut ditekan, dan ia memberikan kesan haptik kepada pengguna. Ia tidak diketahui sama ada kebolehan skrin ditekan ini akan memberikan kesan penerimaan positif ataupun sebaliknya. Sebelum ini, BlackBerry pernah menyertakan sokongan yang hampir sama pada peranti mereka, iaitu pada BlackBerry Storm 2. Tetapi mungkin ketika itu cara implementasinya tidak begitu baik, ataupun terlalu awal untuk diperkenalkan kepada semua pengguna. Sama-sama kita nantikan bagaimanakah implementasi pihak Apple untuk iPhone 6S kelak, yang mana mungkin menjadi salah satu pemangkin industri untuk mengimplementasikan perkara sama.
Telefon Pintar Sharp
Mengambil video di dalam mod gerak perlahan 120 FPS ialah antara fungsi yang kini dianggap biasa pada kebanyakan peranti pintar. Bagi Sharp, ini adalah tidak mencukupi dan mereka menghasilkan tiga peranti baru yang mampu mengambil video pada kadar 2100 FPS. Sharp Aquos Zeta, Aquos Xx dan Aquos Serie boleh mengambil video pada kadar amat perlahan ini pada resolusi 854 x 480 pixel (FWVGA) dan 120 FPS pada resolusi 1080P. Kemampuan gerak perlahan melampau ini dilakukan dengan manipulasi perisian dan bukannya kemampuan gerak perlahan sebenar. Perisian khas akan menambah 10 frame bagi setiap frame diambil bagi memberikan ilusi gerak perlahan melampau. Sharp Aquos Zeta ialah peranti dengan skrin 5.5″ FHD, pemproses Snapdragon 810, RAM 3GB dan muatan dalaman 32 GB. Kamera utama sebesar 13 Megapixel dan kamera hadapan 2 Megapixel. Aquos Xx mempunyai spesifikasi yang sama cuma dengan skrin 5.7″ FHD. Aquos Serie juga mempunyai spesifikasi yang sama tetapi mempunyai skrin 5″ FHD. Selain fungsi kamera yang unik, ketiga-tiga peranti mempunyai bazel yang kecil, kamera hadapan yang diletakkan pada bahagian bawah. Kebarangkalian peranti ini memasuki pasaran tempatan adalah agak kecil.
Couchmaster : Meja Untuk Penggemar Permainan PC Di Ruang Tamu
Sesi permainan komputer bagi pemilik konsol adalah mudah. Pegang pengawal permainan, hidupkan konsol dan labuhkan badan di atas sofa. Anda boleh bermain selama berjam lamanya dengan penuh keselesaan. Bagi pemain PC ini mungkin sedikit sukar untuk dilakukan kerana papan kekunci serta tetikus tidak mudah digunakan ketika duduk di atas sofa. Ramai yang kini menggunakan pengawal tanpa wayar Xbox 360 tetapi ini bukan pengawal terbaik untuk permainan seperti Starcraft ataupun Call of Duty. Couchmaster ialah meja khas untuk memudahkan sesi permainan video di ruang tamu. Ianya menjadi platform untuk meletakkan papan kekunci dan tetikus di atas sofa ruang tamu. Turut disediakan ialah pemegang tablet, telefon pintar dan debu rokok. Disamping itu wayar sepanjang 5 meter untuk sambungan peranti USB terus kepada komputer turut disertakan. Terdapat beberapa versi Couchmaster dijual dengan model paling asas dijual pada harga €90 sebuah.
Subscribe to:
Posts (Atom)






