Friday, November 27, 2015
Jabra Solemate
Adakah anda seorang yang sukakan peranti
audio yang ringkas dan mudah dibawa kemana-mana? Jika bulan lepas kami
telah mengulas peranti Sonic Gear Quatro 2, terbaru kami telah mengulas
peranti Jabra Solemate, peranti audio berasaskan Bluetooth yang tahan
lasak. Seperti peranti Jabra yang pernah kami ulas sebelum ini, Jabra
Solemate hadir dalam kotak bungkusan yang cantik. Menariknya peranti ini
seperti namanya membawakan rekaan seakan-akan kasut, dengan tapak getah
yang tebal dan mempunyai wayar audio dibawahnya. Satu pujian harus
diberikan kepada rekaan cara penyimpanan wayarnya dibawah tapak getah
tersebut. Tapak getah yang tebal ini berfungsi untuk memberikan
cengkaman kepada peranti ini supaya tidak mudah terbalik atau
tergelincir. Ia juga mempunyai cangkuk kain untuk memudahkan pengguna
menyangkutkan peranti ini serta tahan hentakan, percikan air serta kalis
debu sekaligus membuatkan ia tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan
diluar rumah. Turut disertakan bersama peranti ini adalah sarung khusus
untuknya yang membolehkan anda membawa peranti ini kemana-mana. Peranti
ini boleh dihubungkan secara Bluetooth dan NFC atau menggunakan wayar
yang disediakan. Ia boleh ditentukan pada suis kuasa yang terdapat pada
bahagian tepi peranti ini. Pada bahagian atas peranti ini terdapat
butang tahap bunyi dan juga butang untuk menjawab panggilan dan
mengetahui status bateri. Meskipun peranti ini kecil dan mudah dibawa
kemana-mana, ia menyertakan bass driver dan juga subwoofer yang agak
bagus. Kualiti bunyi mid-range juga agak baik, dan konsisten dengan
peranti audio berspesifikasi tinggi dari Jabra. Walaupun kecil, peranti
ini boleh mengeluarkan bunyi yang agak kuat, sesuai dengan penggunaanya
di luar rumah. Pengguna boleh menggunakan Jabra Sound App untuk
memainkan lagu dengan kualiti bunyi Dolby Digital. Peranti ini boleh
beroperasi secara terus menerus sehingga 8 jam dan menerusi percubaan
kami, waktu penggunaannya mencapai 6-7 jam. Selain dari fungsi umumnya
sebagai pembesar suara, peranti ini juga boleh dijadikan pembesar suara
telefoni. Sekiranya anda menghubungkannya dengan Bluetooth dan menerima
panggilan, anda boleh terus bercakap melaluinya. Sekiranya anda
mempunyai peranti pembesar suara telefoni yang tidak cantik di pejabat,
saya yakin peranti ini agak cantik untuk menggantikannya. Pada harga RM
699, peranti audio yang tahan lasak ini boleh dikatakan berbaloi dengan
harganya dari segi kualiti audio, rekaan dan ketahanannya, namun dari
segi bateri, mungkin masih tampak sedikit tapi bagi saya, ia bukan satu
kekurangan yang besar. Seperti peranti Jabra yang lain, harganya sedikit
tinggi berbanding pesaingnya yang lain.
Posted by
irmanista d'italia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment